Himira.com
Sumber Informasi Perniagaan Internet, Isu Pendidikan dan Isu Semasa
-
Nov 18
PUTRAJAYA: Keputusan keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), sungguhpun pencapaian calon cemerlang semua A mengalami sedikit penurunan berbanding tahun lepas.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata seramai 46,012 daripada 485,160 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A, namun pencapaiannya menurun daripada 10.02 peratus pada tahun lepas kepada 9.48 peratus tahun ini.
Ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2011 di Kementerian Pelajaran hari ini, beliau berkata peratusan calon yang mendapat pencapaian baik iaitu minimum gred C bagi semua mata pelajaran yang diduduki meningkat daripada 54.38 peratus tahun lepas kepada 55.45 peratus tahun 2011.
Abd Ghafar berkata calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum iaitu D, E atau kedua-duanya pula berkurangan iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini.
Mengulas mengenai penurunan peratusan calon yang mendapat kesemua A tahun ini berbanding tahun lepas, Abd Ghafar berpendapat kenaikan dan penurunan itu merupakan perkara lazim dalam peperiksaan.
“Penurunan itu agak kecil iaitu 0.54 peratus sahaja. Tetapi kalau kita lihat yang dapat minimum C bertambah. Kalau lihat keseluruhan yang (mendapat pencapaian) minimum itu berkurangan iaitu yang dapat gred D dan E berkurangan… itu bermakna baiklah,” katanya.
Abd Ghafar berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar pada tahun ini dapat dirapatkan sebanyak 0.01 daripada GPN 0.16 tahun lepas kepada 0.15 tahun ini berikutan pelbagai usaha yang dilaksanakan kementerian untuk membantu sekolah-sekolah luar bandar.
Beliau percaya usaha kementerian seperti menerusi ‘School Improvement Programme’ yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memberi kesan.
“Kita menggerakkan keseluruhannya dari sudut nazir, dari segi pihak guru cemerlang untuk membantu sekolah-sekolah luar bandar. Jadi nampak pada saya hasilnya program kita (untuk meningkatkan sekolah luar bandar ini,” kata beliau.
Sementara itu, Abdul Ghafar berkata bilangan calon istimewa yang menduduki peperiksaan itu tahun ini adalah 1,329 orang dengan 17 daripadanya mendapat semua A berbanding 12 orang tahun lepas.
Mengenai prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu-Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK), beliau berkata calon yang mendapat Gred A meningkat kepada 1.9 peratus, bagaimanapun menurun 0.6 peratus untuk Bahasa Melayu-Penulisan berbanding tahun sebelumnya.
Di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pencapaian calon yang memperoleh kesemua A meningkat masing-masing 1.3 peratus dan 1.9 peratus untuk kedua-dua subjek berkenaan, katanya.
Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris di SK, peratusan calon mendapat Gred A menurun 0.5 peratus tetapi meningkat sebanyak 0.4 peratus bagi calon yang mendapat Gred ABC, manakala peratusan calon yang mendapat Gred A dan ABC di SJK pula mengalami penurunan, masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan 1.4 peratus.
Beliau berkata analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di SK dan SJK dibuat berasingan kerana sukatan mata pelajarannya berbeza, dengan kandungan sukatan kedua-dua mata pelajaran di SK lebih tinggi tarafnya daripada SJK.
Bagi prestasi mata pelajaran Matematik, Abd Ghafar berkata secara keseluruhan ia meningkat dengan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 0.01 iaitu 2.26 tahun ini berbanding 2.27 tahun lepas, manakala GPMP untuk mata pelajaran Sains menurun sebanyak 0.03 berbanding tahun lepas.
GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.
Dalam pada itu, Abd Ghafar berkata tahun ini merupakan tahun ketiga Ujian Aptitud diduduki semua murid Tahun Enam di mana prestasi dalam ujian itu dapat memberi gambaran kebolehan dan kesediaan mental mereka sebelum memasuki sekolah menengah.
Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan dan ia dinilai dalam bentuk Band 1 (terendah) hingga Band 4 (tertinggi).
Minat dan kecenderungan murid terhadap bidang akademik, teknik dan vokasional, seni, budaya dan sosial atau sukan turut dilaporkan.
“Keputusan ujian ini tidak dinyatakan dalam slip keputusan USPR, tetapi boleh diperoleh melalui sekolah. Ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan maklumat itu bagi mengetahui minat, potensi dan kecenderungan anak masing-masing,” katanya. – BERNAMA
Comments Off -
Nov 11
Tahniah dan syabas diucapkan kepada 48327 calon UPSR 2010 yang berjaya memperolehi 5A pada peperiksaan UPSR lalu.
Tahniah dan syabas juga kepada ibubapa dan guru yang membantu kejayaan mereka. Sememangnya mereka ini layak diberi pengiktirafan sebegitu.
PUTRAJAYA: Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2010 di sini, sebentar tadi.
Seramai 486,321 calon menduduki UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara.Sumber : Berita Harian
P.S : Semoga mereka ini berjaya memasuki SBP dan MRSM. Kepada yang tidak berjaya, teruskan usaha anda..masih banyak lagi cabaran yang perlu dilalui..
Tagged as: UPSRComments Off -
Nov 17
Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.
‘‘Sebanyak 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran berbanding purata 60.5 peratus untuk tempoh 2003-2007.
‘‘Seramai 488,567 pelajar atau 96.3 peratus daripada jumlah calon pula mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Alimuddin berkata, hanya terdapat empat mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dari segi jumlah pelajar yang mendapat A iaitu Matematik, Bahasa Inggeris SJK, Bahasa Cina (pemahaman) dan Bahasa Tamil (pemahaman).
Menurutnya, lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (penulisan) Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris SK, Bahasa Melayu (pemahaman) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Cina (penulisan) dan Bahasa Tamil (penulisan) pula mencatatkan peningkatan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mendapat gred A.
‘‘Dari segi pelajar yang memperoleh minimum gred C pula, mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu (penulisan) SJK dan Bahasa Inggeris SK.
‘‘Tiada satu pun mata pelajaran yang mencatatkan penurunan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mencapai gred A hingga C,” katanya.
Dalam pada itu, lebih separuh daripada jumlah calon pelajar berkenaan menggunakan bahasa Inggeris bagi menjawab peperiksaan Sains dan Matematik.
Daripada 511,875 sampel yang diambil, 159,234 (31.1 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam menjawab soalan Sains.
Alimuddin berkata, keputusan di kalangan calon orang kurang upaya (OKU) turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.
‘‘Sebanyak 1.27 peratus daripada jumlah calon terencat akal memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding hanya 1.19 peratus pada tahun lalu.
‘‘Jumlah calon buta yang mendapat semua A pula meningkat daripada kosong kepada 3.33 peratus. Calon cacat lain daripada kosong kepada 0.33 peratus, calon rabun daripada kosong kepada 1.33 peratus dan calon spastik daripada 1.23 peratus kepada 4.26 peratus.
‘‘Calon bisu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran, bagaimanapun, menurun daripada 66.67 peratus kepada 50 peratus manakala masih tiada calon pekak yang mendapat semua A pada tahun ini,” katanya.
Ditanya mengapa analisis keputusan keseluruhan UPSR tahun ini dibandingkan dengan keputusan purata lima tahun lalu dan bukan dengan keputusan tahun lepas, Alimuddin berkata, perbandingan dengan lima tahun lepas dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat.
‘‘Selain itu, tahun 2003 juga merupakan tahun di mana kita memulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya.
- Utusan
Tagged as: UPSRComments Off






